Return to Full Page


UTUSAN SARAWAK – RM24 bilion lengkapkan sistem perhubungan di Sarawak
Khamis, 25 Ogos 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kuching – Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing mempunyai tugas besar dan amat mencabar yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata ingin membantu mewujudkan hubungan jalan raya antara semua Bandar dan penempatan luar Bandar di Sarawak menjelang 2030, sejajar dengan pelan transformasi luar bandar kerajaan.

Bagaimanapun, halangan terbesar yang beliau hadapi ialah dana mencukupi untuk melaksanakan tugas itu.

Beliau berkata kerajaan negeri merancang membina jalan raya sepanjang 4,000 kilometer untuk tujuan tersebut.

Untuk menjayakannya, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM24 bilion, katanya pada sidang akhbar di sini semalam selepas merasmikan forum infrastruktur Bank Pembangunan Malaysia Berhad bagi pihak Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Adenan berkata beliau lega apabila dimaklumkan bahawa bank itu berminat membantu menjayakan rancangan tersebut.

Sarawak sebuah negeri yang sangat besar iaitu sebesar seluruh semenanjung, tidak termasuk Perlis.

Tetapi, kami tidak mempunyai perhubungan yang lengkap, terutama kawasan luar bandar yang agak ketinggalan kerana ketiadaan kemudahan perhubungan, katanya.

Sebagai contoh, kata Masing, di kawasan tertentu di luar Bandar, kerajaan negeri memerlukan hingga RM16 juta untuk membina setiap kilometer jalan raya.

Saya gembira kerana Bank Pembangunan Malaysia Berhad berminat menolong kami. Dalam pada itu, kami juga memerlukan lebih banyak pelaburan domestik dan asing, katanya.

Mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo, Masing berharap bank itu akan membantu kontraktor kecil yang terlibat dengan pembinaannya mendapatkan pembiayaan yang amat diperlukan mereka.

Kata beliau, sebagai pendatang baharu, aliran tunai mereka tentunya kurang lancar.





« Back