Return to Full Page


BERITA HARIAN – Azam raih keputusan cemerlang
Selasa, 9 Ogos 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kuala Lumpur – Menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadual berlangsung September ini, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) terus komited menganjurkan Klinik UPSR BH Didik dengan kerjasama BH, baru-baru ini.

Penganjuran seminar membabitkan penyertaan 180 calon UPSR daripada lima sekolah sektiar Lembah Klang itu adalah platform terbaik ke arah memastikan kecemerlangan pendidikan murid secara berterusan.

Seminar yang berlangsung di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu turut mendapat penyertaan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan, Kuala Lumpur; SK Seri Kelana, Petaling Jaya; SK Wangsa Melawati, Kuala Lumpur; SK Jalan Kuantan, Titiwangsa serta SK Hicom, Shah Alam.

Beri pendedahan kepada peserta

Program dua hari itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek Pembelajaran yang efektif dan pelbagai, selain turut menampilkan teknik menjawab soalan secara menyeluruh menerusi penceramah berpengalaman dan pakar dalam subjek masing-masing.

Lebih mengujakan lagi, BPMB turut bermurah hati menaja buku soalan Latihan UPSR BH 2016 kepada semua peserta yang hadir pada seminar berkenaan.

Sementara itu, murid dari SK Desa Pandan, Nur Athirah Muhd Yusof, berkata dia akan menggunakan buku soalan itu sebaiknya selain berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Nur Athirah ketika berkongsi pengalaman itu berkata program berkenaan banyak memberi manfaat berguna kepada dirinya dan rakan lain, terutama persediaan menghadapi UPSR sebenar nanti.

Saya teruja menghadiri seminar seumpama ini untuk meningkatkan kemahiran diri, di samping dapat bertukar pendapat bersama-sama rakan dari sekolah lain.

Seminar ini dapat membantu kami khususnya dalam mendapatkan panduan berguna daripada penceramah terlatih dan pandai berjenaka untuk menarik minat kami, katanya.





« Back