Return to Full Page


SINAR HARIAN – Bangunkan Rumah Ngaji di Penjara
Selasa, 31 Mei 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kota Bharu – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dalam proses membangunkan Rumah Ngaji di 10 penjara di seluruh negara. Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, bagi tujuan itu pihaknya memperuntukan kira-kira RM250,000 setahun semi memastikan warga penjara dapat mempelajari ilmu Al-Quran dengan lebih sistematik dalam suasana berbeza serta selesa.

Rumah Ngaji di Penjara Pengkalan Chepa merupakan yang kedua selepas Sekolah Integrasi Kajang di Penjara Kajang sebelum ini.

Kami percaya, dengan komitmen tinggi daripada pihak pengurusan Jabatan Penjara Malaysia dan tenaga pengajar, program ini mampu beri impak positif dan menjadi nadi kepada penjara terlibat, katanya ketika berucap merasmikan Rumah Ngaji Penjara Pengkalan Chepa di sini, kelmarin.
Hadir sama, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia yang juga Penaung Rumah Ngaji Penjara Pengkalan Chepa, Datuk Seri Zulkifli Omar, Pengarah Urusan Kumpulan BPMB, Mohammed Rafidz Ahmed Rassidi dan Pengerusi YWUI, Datuk Abd Jalil Ali.

Dalam pada itu, Mohammed Rafidz berkata, kira-kira RM10,000 hingga RM25,000 diperlukan bagi menanggung sebuah Rumah Ngaji dalam setahun, merangkumi pembinaan dan penyelanggaran tempat, Latihan kemahiran, elaun guru dan kos operasi.

Menurutnya, lapan lagi penjara akan menerima Rumah Ngaji ialah Marang, Bentong, Kota Kinabalu, Simpang Renggam, Tapah, Sungai Petani, Sungai Udang dan Puncak Borneo.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, sehingga kini lebih 1,000 Rumah Ngaji dibangunkan YWUI di seluruh negara dan berharap kewujudannya di Penjara Pengkalan Chepa atas inisiatif BPMB itu dimanfaat sebaiknya oleh mereka terlibat.

Tahun ini kita merancang untuk mengadakan program mengaji di seluruh dunia yang akan dibuat di Arafah Ramadan ini. Bagaimanapun, mengaji ini sepatutnya tidak perlu disuruh, sebaliknya dibuat setiap masa, katanya.

Abd Jalil turut menyeru badan korporat lain untuk mengikut jejak langkah BPMB agar dapat bersama-sama menyebarkan syiar Islam, sekali gus mewujudkan masyarakat dan negara lebih cemerlang.
Dalam majlis sama, BPMB turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,626,958.66 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang diserahkan oleh Wan Abdul Aziz kepada Timbalan Yang Dipertua Maik, Nik Mohd Azlan Abd Hadi.



« Back