Return to Full Page


SINAR HARIAN – Rezeki sambutan Ramadan
Ahad, 29 Mei 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kota Bharu – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memperuntukan sejumlah RM75,000 bagi membantu meringankan beban magsa hakisan ombak besar dan fakir miskin di Kampung Pulau Kundur Februari dan Mac lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata, sumbangan berbentuk wang tunai (RM800) dan kelengkapan dapur bernilai RM200 itu diserahkan kepada 75 penerima di kampung berkenaan, termasuk 17 keluarga yang terjejas akibat air pasang besar awal tahun ini.

Walaupun mungkin ia bukan jumlah yang besar, tapi insya ALLAH ia diharap dapat meringankan beban mangsa hakisan ombak besar dan fakir miskin di kampung ini lebih-lebih lagi menjelang Ramadan minggu depan.

Jika dimurahkan rezeki, kita akan perhebatkan lagi usaha sebegini bukan sahaja di Kelantan, sebaliknya ke negeri lain bergantung kepada keadaan dan keperluan, katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima di Sekolah Kebangsaan Pulau Kundur di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kumpulan BPMB, Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi, Timbalan Ketua Umno Pengkalan Chepa, Ismail Omar dan Ketua Pemuda Umno bahagian, Haris Husin.

Sementara itu, Ismail berkata usaha BPMB tepat pada masanya di saat umat Islam sedang bersiap sedia menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, ia sedikit sebanyak menceriakan penerima setelah berdepan dugaan hebat awal tahun lalu sehingga ada yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa memulakan kembali kehidupan mereka.

Umno bahagian sedaya upaya cuba untuk meringankan beban mangsa hakisan dan fakir miskin di sini dengan menggunakan pelbagai saluran termasuk kerajaaan, badan bukan kerajaan dan korporat agar nasib mereka terus terbela, katanya.

Seorang penerima yang juga pesakit strok sejak lima tahun lalu, Shamsuddin Osman 55, berterima kasih terhadap keprihatinan BPMB dalam membantu meringankan beban mereka.

Syukur alhamdullilah, dapatlah saya gunakan untuk membeli keperluan harian dan membuat persediaan menyambut Ramadan, katanya bapa keapda lapan anak ini.



« Back