Return to Full Page


SINAR HARIAN – Bantu Orang Asli belajar Al-Quran
Sabtu, 16 April 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Gelang Patah – Penduduk Kampung Orang Asli Simpang Arang, di sini bersyukur apabila penempatan mereka terpilih untuk Program Rumah Ngaji yang dibarakan oleh Warisan Ummah Ikhlas, hasil ilham Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Naib Presiden II merangkap Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat BPMB, Abdul Hanif Abu Bakar berkata, ia adalah perkampungan Orang Asli kedua yang terpilih untuk Program Rumah Ngaji selepas Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang.

Kita memsasarkan empat lagi Rumah Ngaji Orang Asli sepanjang tahun ini bagi membantu masyarakat ini mempelajari, sekali gus membaca Al-Quran dengan lancar daripada pelbagai peringkat umur bermula kanak-kanak hingga golongan dewasa.

Tenaga pengajar yang dipilih juga dalam kalangan masyarakat Orang Asli, akan diberikan kursus untuk mengajar Al-Quran, manakala konsep yang dipilih bagi Rumah Ngaji khususnya di perkampungan seperti ini adalah secara santai.

Ini kerana, kita tidak mahu mereka rasa takut dan malu untuk datang belajar membaca Al-Quran. Justeru, melalui kemudahan Rumah Ngaji dapat melahirkan masyarakat Orang Asli membudayakan Al-Quran tanpa mengira peringkat umur, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Rumah Ngaji Kampung Orang Asli Simpang Arang, di sini kelmarin. Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, Wan Assim Wan Sheikh dan Tok Batin Kampung Orang Asli Simpang Arang, Noore Kasi.

Abdul Hanif berkata, tenaga pengajar Rumah Ngaji juga akan diberikan elaun bulanan sebagai tanda penghargaan.

Menurutnya, bagi setiap Rumah Ngaji yang disediakan, kos diperuntukan oleh BPMB berjumlah RM25,000 termasuk penyediaan prasarana.

Sementara itu, Noore berkata, Rumah Ngaji berkenaan bleh dimanfaatkan untuk 500 penduduk perkampungan itu yang beragama Islam bagi mempelajari Al-Quran membabitkan kanak-kanak, pelajar sekolah dan golongan dewasa.

Saya ucapkan terima kasih kepada Warisan Ummah Ikhlas dan BPMB kerana memilih perkampungan kami untk Program Rumah Ngaji. Ia sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk di sini untuk mendalami Al-Quran.

Kita akan membahagikan kepada kumpulan bagi sesi Pembelajaran di Rumah Ngaji bagi memudahkan tenaga pengajar, manakala bagi anak-anak di sini, akan belajar selepas sesi persekolahan di sebelah petang, katanya.



« Back