Return to Full Page


BERNAMA - BPMB lantik Ketua Perbankan Perniagaan Pelaburan baharu
Rabu, 24 Februari 2016
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kuala Lumpur – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan perlantikan Zainul Hashim sebagai Naib Presiden Eksekutif / Ketua Perniagaan dan Pelaburan berkuat kuasa 19 Februari ini.

Dalan peranan baharunya, Zainul akan memantau aktiviti perbankan perniagaan, perbankan pelaburan dan bahagian perbendaharaan kumpulan, menurut bank itu dalam kenyataan di sini.

Beliau telah memainkan peranan utama dalam pelaksanaan amalam penjanaan dana dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk pengumpulan dana DanaInfra Nasional Bhd. dan pertukaran bon/sukuk diniagakan pertama Malaysia dan program bon boleh tebus Valuecap Sdn Bhd.
Beliau turut terlibat dalam pembiayaan merentas sempadan untuk Perbadanan Kewangan Antarabangsa Bank Dunia, bank Pembangunan Jerman KfW dan Perbadanan Pelaburan Teluk di Kuwait.

Sebelum pelantikan itu, Zainul merupakan Ketua pasaran hutang di AmInvestment Bank Bhd., dan sebelum ini, beliau berkhidmat dengan The Royal Bank of Scotland (M) Bhd. dan ABN AMRO Bank (M) Bhd. serta sebagai pengawal selia dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA).

Zainul yang memegang lesen Pasaran Modal (CMSRL), menerima Sarjana Muda Sains dari London dan memperoleh LLM (Perbankan) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, Presiden / Pengarah Urusan Kumpulan BPMB Mohammed Rafidz Ahmed Rasiddi yang mengalu-alukan penyertaan Zainul berkata, “pengalaman dan kepimpinan Zainul akan melengkapi keupayaan BPMB memandangkan pihaknya berusaha kearah mengukuhkan peranan bank menasihati dan membiayai projek-projek strategik negara”.



« Back