Return to Full Page

BERITA HARIAN - Kerajaan lancar dana pengangkutan awam RM500 juta
Khamis, 02 Mei 2019
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Dana RM500 juta tingkat sistem pengangkutan awam negara berjumlah RM500 juta sebagai inisiatif untuk mempertingkat dan menambah baik sistem pengangkutan awam di negara ini. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata dana berkenaan diharap dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat Malaysia melalui sistem pembiayaan yang dipertingkatkan. “Dana ini boleh digunakan bagi pembelian kenderaan seperti teksi, bas serta pelbagai jenis kenderaan pengangkutan awam yang boleh digunakan oleh pengendali, pembekal, pengilang, kontraktor dan pemasang kenderaan pengangkutan awam, selain pemaju yang membangunkan infrastruktur berkenaan.

“Selain itu, kerajaan juga menawarkan kadar subsidi sebanyak dua peratus kepada pemohon yang layak mendapatkan dana berkenaan,” katanya pada pelancaran Dana Pengangkutan Awam, di sini, hari ini.Hadir sama, Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Datuk Zaiton Mohd Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail.

Dana Pengangkutan Awam dikendalikan sepenuhnya BPMB dan ia satu daripada tiga dana berasingan keseluruhannya berjumlah RM4.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2019. Dua dana lain ialah Dana Transformasi Industri Pendigitalan dan Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan.

Guan Eng berkata, inisiatif berkenaan menggambarkan usaha kerajaan untuk menggalakkan konsep “negara keusahawanan” dengan memberikan sokongan dan menyediakan lebih banyak insentif kepada sektor yang strategik seperti pengangkutan awam.

“Sektor ini mungkin tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi untuk menarik pelabur biasa, namun mampu menghasilkan peluang tinggi untuk memberikan kesan berganda kepada ekonomi negara yang semakin meningkat.

“Melalui usaha seumpama ini, kerajaan amat berharap dapat meningkatkan penyertaan dan kerjasama daripada sektor swasta secara lebih matang dan telus,” katanya.

Beliau berkata, data Bank Dunia melaporkan pengangkutan bandar adalah komponen paling lemah dalam sistem pengangkutan awam di Malaysia.

“Oleh itu, berjuta rakyat menghadapi kesan kesesakan jalan raya pada setiap hari. Dianggarkan penghuni di Kuala Lumpur terpaksa menghabiskan lebih 250 juta jam setahun menghadap kesesakan jalan raya atau kira-kira 20 hari dalam tempoh setahun untuk setiap penghuni,” katanya.Sementara itu, Zaiton berkata, sebagai institusi pembangunan kewangan, BPMB berusaha untuk terus berkhidmat dalam membantu mencapai matlamat pembangunan negara.

“Selain dana berkenaan, kami turut diberi mandat menyediakan pembiayaan bagi empat sektor lain iaitu infrastruktur, maritim, minyak dan gas serta teknologi.

“Dengan rekod prestasi yang kukuh, kami yakin pelancaran dana baharu ini dapat menyumbang ke arah memperbaiki sistem pengangkutan awam di Malaysia,” katanya.



« Back