Return to Full Page

HARIAN METRO - ‘Proses bersih’
Jumaat, 8 Mac 2019
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) yang menjadi tumpuan berikutan dakwaan amalan peminjaman yang lemah sedang menjalani proses ‘pembersihan’ dan dijangka dapat diselesaikan secepat mungkin.

Pengerusinya, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, pihaknya bekerja keras bagi memantapkan kedudukan institusi kewangan pembangunan itu dalam memenuhi mandatnya sebagai pemacu pembangunan negara dengan membantu syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan pihaknya akan lebih berhati-hati dalam proses dan standard kreditnya.

Katanya, di samping objektif utama BPMB untuk memupuk pelanggan, pihaknya juga berusaha keras memenuhi objektif itu dengan menyeimbangkan peranan pembangunan berbanding jangkaan komersial pemegang sahamnya dan pada masa sama memenuhi standard tadbir urus korporat yang tinggi.

“Kami akan melakukan secepat mungkin (menyelesaikan proses pembersihan). Tidak ada jaminan, tetapi jaminan yang boleh kami beri adalah kami akan melakukan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Dana Transformasi Pendigitalan Industri (IDTF) berjumlah RM3 bilion oleh BPMB, semalam.

Pelancaran dana itu disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Zaiton berkata, kedudukan kewangan BPMB adalah kukuh dicerminkan oleh prestasi kewangannya yang mantap dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau berkata, dana pemegang sahamnya berada pada paras RM7.4 bilion dengan jumlah aset RM24 bilion. “Dalam beberapa tahun lalu, BPMB terus memainkan peranan pembangunannya dan membantu membiayai projek infrastruktur utama yang menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.



« Back