Return to Full Page

BPMB komited jadi peneraju rakan pembangunan di Malaysia
Monday, 30 September 2019
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan melaksanakan pelan strategik tiga tahunnya bermula tahun depan untuk menjadi peneraju rakan pembangunan unggul di Malaysia.

Institusi kewangan pembangunan (DFI) milik penuh kerajaan itu juga komited untuk menjadi perangsang dan pemangkin kepada pelaksanaan projek strategik dan berimpak tinggi kepada ekonomi dan rakyat negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Arshad Mohamed Ismail, berkata pelan strategik tiga tahun itu akan berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu perubahan paradigma; menyokong bidang strategik kerajaan dan menyediakan pembiayaan berlandaskan Syariah.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah melaksanakan usaha memperkemas dan memperkukuhkan tadbir urusnya, sekali gus menjadikan operasinya kini lebih cekap dan telus.

Katanya, pelan strategik itu juga dirangka dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

"Kami mahu menjadi peneraju rakan pembangunan di Malaysia dengan pembiayaan kami tidak lagi terhad kepada infrastruktur, maritim, minyak dan gas serta teknologi, tetapi juga membabitkan projek berimpak tinggi.

"Kami juga akan meningkatkan kepakaran dan kapasiti untuk bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam bidang tumpuan baharu," katanya dalam satu temubual ekslusif bersama BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Arshad yang menerajui pengurusan tertinggi BPMB pada April lalu itu berkata, pihaknya juga membangunkan rangka kerja khusus dalam menilai projek yang akan dibiayai mempunyai impak besar seperti menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai model dalaman tersendiri dalam mengukur risiko bagi menjamin kualiti aset kreditnya.

Katanya, BPMB juga giat melaksanakan usaha untuk menjadi DFI berlandaskan Syariah sepenuhnya menjelang akhir 2020.

Setakat Disember 2018, saiz porfolio BPMB berjumlah RM18.1 bilion dan setakat suku kedua 2019, saiz portfolionya meningkat kepada RM19.3 bilion.



« Back