Return to Full Page

HARIAN METRO - Segera selesai bincang perjanjian ECRL – Guan Eng
Khamis, 7 Mac 2019
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

KERAJAAN berharap perjanjian untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan harga yang lebih rendah diselesaikan segera, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, China sudah menawarkan harga yang lebih rendah kepada Malaysia, maka wajar projek itu diteruskan selepas dipersetujui terma perjanjiannya.

“Kos projek sudah dikurangkan mengikut mana-mana yang perlu dan perbincangan mengenainya masih dilakukan, harap diselesaikan segera.

“Lagi pun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melawat China akhir bulan depan,” katanya kepada media selepas melancarkan Dana Transformasi Pendigitalan Industri di Kuala Lumpur, hari ini.

“Turut hadir, Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Baru-baru ini Dr Mahathir berkata, projek ECRL boleh dilaksanakan dengan kos RM35 bilion iaitu jauh lebih rendah berbanding harga RM55 bilion yang dipersetujui kerajaan dahulu.

Projek ECRL adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo sepanjang 688 kilometer yang dilancarkan pada Ogos 2017 dan dijadualkan siap pada 2024, kini dikaji semula kerajaan dengan rundingan di antara Malaysia dan China masih dijalankan.

Terdahulu mengenai dana itu, Lim berkata, ia adalah dana pinjaman berjumlah RM3 bilion untuk syarikat tempatan beralih kepada teknologi digital bagi melonjakkan perniagaan mereka.

“Dana ini adalah sebahagian dari Belanjawan 2019 untuk Malaysia menuju negara Industri 4.0 dengan menggalakkan penggunaan teknologi baru berkaitan robotik, kepintaran buatan (AI) dan data besar,” katanya.



« Back