Return to Full Page

BERITA HARIAN - Zaiton dilantik Pengerusi Bank Pembangunan
Selasa, 19 Februari 2019
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melantik Datuk Zaiton Mohd Hassan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas berkuat kuasa semalam, untuk tempoh dua tahun selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang bersara pada November 2018, sekali gus menjadikan beliau sebagai Pengerusi ke-11 BPMB sejak penubuhannya 45 tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, BPMB berkata, Zaiton mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bidang perbankan dan akaunan serta pengalaman luas dalam tadbir urus, risiko dan audit meliputi sektor swasta dan institusi awam.

"Pelantikan beliau akan mempertingkatkan standard tadbir urus korporat bank serta membantu BPMB mencapai potensi penuh sebagai institusi pembangunan kewangan," katanya.

Sebelum ini, beliau dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Tadbir Urus dan Audit kumpulan Sime Darby Bhd dan kini Audit Sime Darby Plantation Bhd.

Pada Julai tahun lalu, beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Haji dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urusnya.

Zaiton adalah Ahli Majlis Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) United Kingdom (UK), ahli Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC), ahli jawatankuasa Akauntan Professional dalam Perniagaan (PAIB), ahli Institut Akauntan Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.



« Back